1 Oktober 2017 - 17:07
Iran Tenggelam Dalam Kesedihan Mengenang Tragedi Karbala

Dengan ketibaan hari ke-10 Muharram, warga Iran di seluruh negara Timur Tengah tersebut turut serta di dalam upacara memperingati tragedi Karbala.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Dengan ketibaan hari ke-10 Muharram, warga Iran di seluruh negara Timur Tengah tersebut turut serta di dalam upacara memperingati tragedi Karbala.

Warga Iran dengan latar belakang yang berbeza memenuhi jalan raya, medan, masjid dan pusat komuniti di pelbagai lokasi di negara Republik Islam tersebut dengan berpakaian serba hitam untuk mengenang pengorbanan Imam Hussein dan rombongannya di dalam menegakkan Islam dan menentang kezaliman.

Hari ke-10 Muharram atau lebih dikenali sebagai Hari Asyura dianggap penting oleh umat Islam khususnya penganut mazhab Syiah memandangkan pada hari tersebut pada tahun 61 Hijrah, Imam Hussein bersama keluarga dan sahabatnya seramai 72 orang gugur sebagai syuhada di dalam menentang pemerintahan zalim Yazid.

Pembunuhan cucunda Nabi S.A.A.W sekaligus menggegarkan dunia Islam yang selepas itu menyaksikan pelbagai pemberontakan ke atas pemerintahan Umayyah sehinggalah mereka dihancurkan oleh Bani Abbasiyah yang mendakwa diri mereka sebagai pembela keluarga Nabi Islam S.A.A.W.

Kini upacara memperingati pengorbanan Imam Hussein mula mendapat perhatian warga dunia dengan pelbagai majlis perkabungan dianjurkan di seluruh dunia termasuk Iran, Iraq, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Bahrain, Azerbaijan, Belanda, Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Walau bagaimanapun, di sebalik dakwaan bahawa Malaysia adalah negara sederhana apabila menangani perbezaan pendapat di dalam beragama, upacara mengagungkan para syuhada Karbala dihalang oleh pihak berkuasa negara Asia Tenggara itu. -ABNA24

/315